Pages

Sunday, May 6, 2012

Anjakan Paradigma Hafiz Quran


Bersama Huffaz al-Quran di program Bengkel Tinta Da’ie di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Baru
“Sungguh merisaukan apabila ada huffaz yang tidak tahu hendak ke mana” saya meluahkan pandangan.
“Itu sering berlaku, ustaz. Perasaan itulah yang banyak membelenggu pelajar semester akhir” jawab salah seorang sahabat.
Beliau turut gusar dengan perkara yang sama di kalangan rakannya.
Sudah lama saya menanti peluang ini.
Peluang untuk berwacana bersama pada Huffaz al-Quran.
Kelompok insan terpilih yang berpotensi tinggi, tetapi sebahagiannya dibelenggu oleh batasan-batasan yang dibina oleh persepsi massa.

16 Januari 2010, selepas penangguhan tarikh asal pada Ogos 2009 akibat H1N1, saya berkesempatan meluangkan sehari suntuk masa di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kuala Kubu Bharu.
Biar pun himpunan hasrat dan harapan di dada saya terasa dibataskan oleh tajuk yang bakal diperkatakan, namun saya tidak mahu terikat dengan tema program Bengkel Tinta Da’ie, pada hanya memperkatakan tentang teknik penulisan. Apa sahaja teknik yang bakal dibincangkan, ia hanya wasilah untuk ekspresi sesuatu yang lebih bersifat induk iaitu DAKWAH, sebagai subjek utamanya.
BEBANAN PERSEPSI
Sebahagian Hafizaat al-Quran yang turut serta
Mungkin punca kepada kaburnya perjalanan ini berkait dengan persepsi masyarakat yang menyalahi realiti. Ramai yang melihat bahawa menjadi hafiz atau hafizah, adalah satu destinasi. Sedangkan bagi seorang pelajar yang telah berjaya menyertai kelompok huffaz, dia tidak dapat merasakan bahawa dirinya tiba ke destinasi, tetapi seperti baru hendak memulakan perjalanan. Kombinasi di antara sangkaan orang ramai, dan perasaan seorang hafiz dan hafizah, telah mencipta satu beban yang berat untuk ditanggung oleh para huffaz. Mereka diberikan status sosial yang tinggi ketika mana setiap seorang berasa janggal untuk menampung status itu tanpa alat yang mencukupi.
Hakikatnya, menjadi seorang hafiz dan hafizah adalah satu fondisi yang sangat hebat. Tetapi ia bukan kemuncak cita-cita.
Secara peribadi, saya dapat merasakan betapa besarnya impak andaikata saya memulakan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda setelah menjadi seorang hafiz. Ia adalah satu kekurangan yang telah saya hadapi, biar pun ia tidak pernah menjadi halangan untuk meningkatkan penguasaan ilmu Syariatullah.
Di dalam mana-mana subjek, keperluan menghafal dan memahami nas al-Quran, di samping nas al-Hadith dan pendapat-pendapat ulama’ yang lain, adalah perkara asas yang diperlukan oleh seorang pelajar Syariah untuk memahami satu-satu topik yang dipelajari.  Melakukan semuanya dalam keadaan bukan seorang hafiz, terasa ada kekurangan yang memerlukan mujahadah besar bagi mengatasinya. Alangkah baiknya jika saya sudah menghafal al-Quran sepenuhnya semasa kaki melangkah ke bumi Syam dahulu. Malah, tuntutan universiti kepada pelajar Syariah agar menghafal 6 juzuk al-Quran sebagai syarat graduasi yang memerlukan kami untuk melakukannya di celah-celah 46 subjek, sudah cukup memeritkan. Belum lagi pada soal mengekalkan hafalan itu selepas ujian Tasmi’. Selesai menghafal al-Quran sebelum mula belajar Syariah, adalah satu impian yang dibayang-bayangkan oleh setiap kami, semasa dihimpit kesulitan mengimbangkan hafalan al-Quran dengan proses pembelajaran yang padat.
Tetapi itu lebih baik daripada berjaya menjadi seorang hafiz dan hafizah, namun terus terjun ke gelanggang agamawan tanpa mendapat ilmu yang cukup berkaitan dengan proses memahami nas dan Syariah secara keseluruhannya. Jadi huffaz tapi belum jadi asatizah. Menghafal al-Quran tidak pernah sama sekali sinonim dengan memahami al-Quran. Kedua-duanya memerlukan proses yang tersendiri dan tidak boleh saling menampung secara simplistik.
Di sinilah titik yang menampakkan betapa institusi tahfiz dan status huffaz di negara kita memerlukan satu anjakan paradigma yang besar.
Huffaz yang bercita-cita mahu banyak memberi, mesti banyak memiliki. Itu pra syarat menjadi da’ie dan penulis berjiwa da’ie
MEMINJAM CERMIN TURKI
Sebagai perbandingan, jika dilihat ke sebuah negara yang kaya dengan huffaz seperti Turki, di negara itu tidak ada sesiapa yang digelar sebagai al-hafiz. Menjadi seorang hafiz atau hafizah bukanlah sesuatu yang dianggap pencapaian dengan status sosial, tetapi ia hanya melunaskan satu tuntutan sebagai seorang Muslim. Justeru, mindset setiap pelajar yang menghafal al-Quran bukan untuk membawa hafazannya sebagai satu aset kerjaya.  Menjadi hafiz bererti telah memiliki sesuatu yang sangat besar untuk diri sendiri, tetapi belum mempunyai apa-apa untuk orang lain. Oleh itu, mereka menjadikan hafazan itu sebagai bekalan untuk meneruskan lagi proses pembelajaran. Dengan pemikiran seperti itu, saya melihat sendiri betapa sejumlah besar mahasiswa dan mahasiswi di Ilahiyat Fakultesi adalah terdiri daripada hafiz dan hafizah. Ia menjadi satu kredit besar buat mereka semasa melunaskan pengajian di peringkat universiti.
“Kamu sudah khatam al-Quran?” itu soalan yang sering ditanya di dalam masyarakat kita.
Terutamanya kepada anak gadis sebelum naik pelamin.
Tetapi di Turki jarang sekali kedengaran orang bertanya demikian.
Lazimnya mereka akan bertanya, “kamu sudah menghafal al-Quran?”
Suasana Kuran Kursu di Turki tempat anak-anak tempatan belajar dan seterusnya menghafal al-Quran. Kasual!
PROSES YANG MELENGKAPI
Saya kongsikan diskusi berkenaan dengan hal ini bersama pelajar Darul Quran, agar mereka meletakkan satu azam untuk tidak mudah berpuas hati hanya dengan selesai menghafal al-Quran dan memperolehi Sijil atau Diploma yang ditawarkan, sebaliknya hendaklah disambung lagi dengan peringkat pengajian yang lebih tinggi, hingga sekurang-kurangnya berjaya memperolehi ijazah di dalam mana-mana cabang bidang Pengajian Islam, sebelum benar-benar boleh berperanan dengan baik menanggung kepimpinan Islam di dalam masyarakat.
Begitu juga dengan program pensijilan yang meletakkan sasaran program untuk melahirkan hafiz dan hafizah, yang kemudiannya disalurkan mengambil jurusan profesional (bukan Syariah), sebagai acuan melahirkan golongan Profesional Muslim, atau Profesional yang hafiz! Saya merasakan seperti adaunsur simplistik dalam meletakkan formula sedemikian rupa. Seorang jurutera yang menghafal al-Quran adalah satu kelebihan yang besar pada dirinya untuk menjadi seorang Muslim Profesional atau Profesional Muslim, asalkan hafazan itu dimasak dengan latihan formal atau tidak formal di dalam cabang-cabang disiplin Pengajian Islam yang kita sedia maklum. Tetapi untuk sekadar memiliki 30 juzuk hafalan di dalam diri, dan kemudian beralih pula ke bidang perubatan dan kejuruteraan untuk melahirkan tokoh-tokoh yang berinspirasikan al-Khawarizmi dan yang seumpama dengannya, ia kedengaran seperti satu retorik.
PROAKTIF
Sebahagian Huffaz yang menjadi tulang belakang di sebalik penganjuran Bengkel Tinta Da’ie baru-baru ini
Justeru, kepada para hafiz dan hafizah itu sendirilah tanggungjawab bagi mereka bertindak secara proaktif dengan tidak membataskan diri kepada persepsi-persepsi itu tadi. Mereka harus mencabar diri untuk pergi lebih jauh. Jangan tunduk kepada demand yang hanya menghendaki kalian mengimamkan Tarawih. Itu besar, tetapi ada yang lebih besar menanti!
Kuasai ilmu-ilmu alat di dalam Pengajian Islam.
Kuasai juga Bahasa Arab dengan sebaiknya.
Itu jika jalan yang dipilih adalah pada mahu menjadi seorang agamawan.
Lebih cantik jika dapat dilengkapkan dengan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, serta kemahiran-kemahiran lain seperti ICT, pengurusan, komunikasi dan lain-lain keperluan dakwah.
Ada pun jika para huffaz mahu meneruskan pengajian di dalam bidang akademik bukan Pengajian Islam seperti kejuruteraan dan perubatan, teruskan cita-cita yang amat bermakna itu. Namun perlu ada kesediaan di minda bahawa hafazan yang telah berjaya diperolehi, masih merupakan bahan separuh masak yang perlu dicanai lagi dengan pelbagai ilmu berkaitan Syariah. Justeru di celah-celah pengajian di universiti di bidang masing-masing, carilah ruang dan peluang untuk meneruskan pembelajaran di bidang agama.
Sesungguhnya saya sangat kagum dengan disiplin dan potensi yang dilihat selama saya berada bersama para huffaz di Darul Quran. Apa yang perlu diberikan secara konsisten adalah semangat untuk mereka terus berjiwa besar dan membawa al-Quran ke massa dengan segala ruang dakwah yang menanti.
“Dan dia (Yaaqub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nyalah aku berserah diri, dan kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri” [Yusuf 12: 67]
Selamat maju jaya saya ucapkan kepada para huffaz al-Quran di mana sahaja mereka berada.
Semoga jiwamu sebesar al-Quran yang telah mengisi hatimu.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Our Memory