Pages

Wednesday, March 23, 2011

Apa yang kita hilang.


2011. Sedar tak sedar sudah 4 tahun kita tinggalkan bumi Darul Quran, membawa keluar sijil sudah khatam 30 juzuk hafazan Quran, ringan tapi amanahnya berat.

Selalu kita titikberatkan, berapa banyak ayat yang telah benar-benar kita ingat. Pernahkah kita bertanya, berapa banyak ayat yang benar-benar telah kita applikasikan dalam kehidupan. Di mana-mana pun, masyarakat memandang tinggi golongan penghafal Al-Quran. Kalau mak cik yang kita kenal di jalanan pun, pasti akan terima jadi menantu kalau tahu dia ini hafal Al-Quran. Ukuran orang awam, orang yang hafal Quran ni baik-baik. Hakikatnya tidaklah begitu. Ingat sahaja tidak cukup, kita kekurangan sesuatu.



Apa beza kita dengan umat Islam yang gemilang suatu ketika dahulu? Kita ada Al-Quran, orang Islam sebelum kita juga ada Al-Quran. Kita juga ada hadith, mereka juga ada. Mereka ada ulamak, kita juga ada ulamak. Semua yang mereka ada, kita juga ada. Apa lagi yang kurang? Sebenarnya kita kekurangan individu dan generasi yang faham Al-Quran. Individu yang bukan belajar Al-quran semata-mata kerana mahu mendapat sanad, bukan juga untuk masuk pertandingan tilawah peringkat antarabangsa, bukan juga belajar untuk lulus peperiksaan atau naik tahun, bukan juga untuk membuat kajian sains, tetapi mereka belajar kerana mereka mahu mengamalkan serta melaksanakan segala perintah Allah yang terdapat dalam Al-Quran. Seluruh kehidupan mereka mencerminkan Al-Quran. Mereka punya dasar "belajar untuk melaksanakan terus". Itulah yang dinamakan "The walking Quran/Al-quran bergerak." Al-Quran sebati dalam hati dan darah daging mereka.

Namun, umat Islam hari ini ibarat anak singa yang dipelihara oleh kambing. Apabila sudah besar anak singa itu mengaum seperti kambing, makan juga seperti kambing, langsung hilang segala kekuatannya. Kita lahir sebagai muslim tapi kita dibesarkan dengan cara hidup barat, kita terpengaruh dengan budaya barat akhirnya jadilah hidup kita seperti musuh-mush kita. Nama kita Islam, tapi kita langsung tiada kekuatan untuk menentang musuh Islam, malah kita seperti redha terhadap apa yang mereka lakukan.

Jika dulu kita ada khilafah, masih ada yang membela nasib kita. Tapi sekarang, kita lemah. Sangat lemah. Tiada siapa dapat membela nasib umat Islam sekarang. Kita diinjak-injak oleh musuh-musuh kita. Oleh sebab itu , kita perlu kembalikan Islam. Letakkan Al-Quran di tempat yang sepatutnya. Nampak seperti tidak logik pula untuk kembalikan Islam seperti dulu. Tapi tak mustahil sebab orang sebelum kita telah membuktikannya. Benar proses ini memakan masa yang lama, memerlukan beberapa generasi. Tetapi kita perlu mula membinanya sekarang. Jika Piramid Kufu memakan masa selama 20 tahun untuk siap, inikan pula kita mahu bina semula sebuah tamadun tentulah memakan masa yang lebih lama. Boleh jadi ratusan tahun, sedang musuh kita merancang untuk menjatuhkan umat Islam sejak sejak kurun ke-11 lagi, akhirnya 3 Mac 1924 mereka berjaya menjatuhkan khilafah Islam. Musuh kita merancang, kita juga harus merancang.

Kita perlu apa?
Kita perlu berubah, memperbaiki diri kita, melaksanakan Islam yang sebenar dalam kehidupan kita, kemudian memperbaiki keluarga kita, kemudian masyarakat kita, apabila ajal kita sampai maka generasi selepas kita menyambung tugas tersebut, sehinggalah mereka dapat melihat Islam kembali berkuasa di atas muka bumi. Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W suatu ketika dahulu. Yang pertama sekali, Rasulullah membina individu yang punya roh Islam. Sehingga lahirlah para sahabat ahli badar seramai 313 orang yang mampu menewaskan musyrikin seramai 1000 orang dengan pertolongan Allah. Kerana janji Allah, Allah sentiasa bersama orang-orang beriman. Jadi, soalnya di sini bukan kuantiti tetapi kualiti.

Ibaratnya seperti sebuah undang-undang. Kita rasa undang-undang dan perlembagaan yang digariskan sudah 'perfect' dan adil, tapi masih lagi berlaku jenayah dan kepincangan dalam masyarakat. Undang-undang sahaja tidak cukup, kerana kita juga memerlukan pemerintah yang adil, yang mampu melaksanakan undang-undang dengan adil. Begitu juga Al-Quran, kita yakin dengan kebenaran Al-Quran, kita yakin kitab itu turunnya dari Allah, tetapi kenapa orang yang mengahafal Al-Quran, atau orang yang membaca Al-Quran tidak langsung terkesan dengan ayat-ayat Allah, tidak langsung mahu melaksanakan perintah Allah yang terkandung dalam kitab tersebut. Kerana defectnya bukan pada ayat-ayat Allah, tetapi pada hati-hati dan jiwa-jiwa kita.

Allahu a'lam

No comments:

Our Memory